SKMM siasat lelaki hina Nabi Muhammad, agama Islam

 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan seorang individu yang telah memuat naik komen bersifat jelik melampau menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman Facebook yang dipercayai milik beliau.

Menurut SKMM, rakaman percakapan ke atas lelaki tempatan berusia 63 tahun itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 20 April lalu. 

Katanya, sebuah telefon bimbit berserta kad SIM yang digunakan oleh suspek untuk memuat naik komen telah disita bagi tujuan analisis forensik.

"Kes disiasat di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kertas siasatan tersebut akan ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

SKMM tidak akan berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial khususnya menyentuh isu 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) yang berpotensi mengakibatkan ketegangan antara agama dan mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Orang ramai turut diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi SKMM di https://aduan.SKMM.gov.my.

MENARIK




Catat Ulasan

1 Ulasan