Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan beliau dibayar untuk membuat persembahan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan kelmarin.
Beliau menghadiri majlis tersebut sebagai tetamu dan bukan diundang secara rasmi untuk membuat persembahan.
“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya melalui Instagram semalam.
Siti Nurhaliza juga berharap tiada lagi pihak yang membuat fitnah berhubung persembahannya pada majlis tersebut.
“Penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu tidak sahih beritanya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah hadir sebagai tetamu dan membuat persembahan tanpa bayaran.
Beliau berkata, ia bagi menghormati peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kakitangan Kementerian Kesihatan dan tetamu lain yang merupakan sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan negara.
“Kritikan yang diterima adalah adil. Semoga ini menjadi peringatan kepada semua.
“Kami akan terus berusaha untuk menangani isu sistemik untuk pekerja kesihatan kami, itu komitmen saya,” katanya melalui hantaran X semalam.
Sebelum ini, netizen mempersoalkan penganjuran majlis tersebut dalam keadaan kakitangan Kementerian Kesihatan berdepan langkah-langkah penjimatan kos ketika menjalankan tugas mereka.
1 Ulasan
bagus sekali
BalasPadam