Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan tuduhan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik UMNO.
Menurut beliau, tuduhan itu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disambut pula oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
“Saya tak tahu apa nak kata pasal tahap pemikiran mereka ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dr. Mahathir berkata, segala dokumen berkaitan telah dikemukakan sebelum ini dan menafikan dirinya terbabit dalam mana-mana tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.
“Pertamanya, mereka ni tak baca ke saman pemula yang UMNO failkan oleh Setiausaha Kerjanya, Datuk Mohd. Sumali Reduan. Saman itu namakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan dan bukan saya.
“Keduanya, dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan oleh UMNO dinyatakan bahawa permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Oktober 2015 telah ada surat akuan yang ditandatangani oleh keempat-empat pemegang amanah termasuklah saya.
“Kemudiannya, pada 28 Disember 2015, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan kebenaran pindah milik daripada pemegang-pemegang amanah tersebut kepada UMNO,” katanya.
Tambah beliau, proses berkenaan hanya terbantut pada Mei 2017 disebabkan isu teknikal berkaitan butiran dalam geran.
“Bagaimanapun proses pindah milik itu terbantut pada Mei 2017 kerana terdapat nama dalam geran hartanah tidak sama seperti dalam kad pengenalan.
“Jelas tidak timbul saya tidak mahu lepas harta UMNO. Saya telah buat akuan bersetuju pada tahun 2015 lagi.
“Selain itu saman ini terhadap Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan tiada kaitan dengan saya,” ujarnya.
Bekas Presiden UMNO itu turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid dan Mohd. Puad yang terus mengulangi dakwaan yang dianggapnya sebagai fitnah.
“Sebelum ini saya sudah buat saman fitnah terhadap Zahid kerana berbohong untuk nak burukkan nama saya. Sekarang Puad Zarkashi turut serta.
“Tak malukah berbohong dan fitnah tak berhenti-henti?
“Tapi kalau fitnah ini kerana tidak faham, mungkin ahli UMNO perlu fikir semula sama ada kaki bohong layak terus jadi Presiden ataupun Speaker DUN Johor,” katanya.

0 Ulasan