UMNO Bahagian Pekan melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengembalikan kes semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, keputusan itu telah menyebabkan kesemua prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuan berkenaan.
Kata UMNO Bahagian Pekan, perlu ditegaskan bahawa kewujudan titah adendum yang bertarikh 29 Januari 2024 tersebut telah disahkan oleh Majlis Kesultanan Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari 2025 dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan dengan jelas dalam ucapannya bahawa adendum itu wujud.
"Maka pelaksanaan titah adendum yang telah tertangguh selama lebih 14 bulan ini adalah umpama keadilan yang telah dinafikan kepada Najib serta melambatkan haknya dibawah perlembagaan untuk mendapatkan keadilan," katanya dalam kenyataan media kelmarin.
UMNO Pekan menyeru agar semua pihak yang berkaitan memandang serius perkara ini demi menjamin prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.
Jelasnya, keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara akan semakin terhakis sekiranya rakyat merasa ragu dengan proses perundangan yang dijalankan.
"Justice should not only be done, but must also be seen to be done," ujarnya.
UMNO Bahagian Pekan menambah, Najib merupakan seorang tokoh negarawan yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan negara, termasuk melalui pelbagai dasar transformasi ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang masih memberi manfaat kepada rakyat sehingga kini.
Katanya, sumbangan beliau tidak wajar dipinggirkan, dan sebagai warganegara Malaysia, beliau juga berhak menerima layanan yang adil dan saksama di sisi undang-undang.
"UMNO Pekan menjunjung tinggi titah adendum yang telah diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-16 dan akan terus komited memperjuangkan keadilan buat Najib, pemimpin kami yang amat dikasihi.
"Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan keadilan buat Najib serta terus memberkati bumi Malaysia yang tercinta ini," jelasnya.

0 Ulasan