PKR tinggal 22 kerusi kalau gantung 9 Ahli Parlimen - Rafizi

 


Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan bahawa tindakan menggantung sembilan ahli Parlimen parti itu akan menyebabkan PKR hanya tinggal 22 kerusi, lebih sedikit berbanding DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, terdapat desakan supaya beliau bersama lapan lagi ahli Parlimen PKR yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman digantung keahlian.

“Ada desakan supaya saya dan lapan lagi ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung. 

"Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung. 

"Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tersebut hanya diperhatikan oleh anggota parti dan rakyat.

“Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati. Rakyat pun perhati juga.

“Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata tindakan menggantung ahli Parlimen tidak menyelesaikan masalah kerana mereka dipilih rakyat untuk bersuara.

“Menggantung kami memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada ahli Parlimen seperti Hassan Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun,” katanya.

Rafizi turut menasihati pimpinan cabang PKR yang baru terpilih agar memahami asas perjuangan parti.

“Nasihat saya kepada pimpinan PKR peringkat cabang dari generasi yang baru menang selepas pemilihan baru-baru ini – PKR tidak dibina dengan menutup mulut.

“PKR nampak dinamik kerana kita sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.

“Kita juga diminati rakyat sebelum ini kerana kita paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.

“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini, untuk menjadi orang besar dan berjawatan,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada kepimpinan muda parti:

"Sayangkan anak tangan-tangankan,

Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan,

Sayangkan negara tegur-tegurkan.”




Catat Ulasan

0 Ulasan