Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, proses pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan seperti yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati.
Titah baginda, ia adalah demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 10 Julai lalu yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara," titah baginda dalam kenyataan media, hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-269 yang dipengerusikan baginda semalam adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
"Dalam proses rundingan tersebut, beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan," titah baginda.
0 Ulasan