Demonstrasi umpama candu bagi orang PAS - Puad

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan perhimpunan Turun Anwar anjuran PAS pada 26 Julai ini sebagai satu bentuk ketaksuban politik yang tidak akan memberi sebarang kesan kepada kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, PAS menjangkakan seramai 300,000 orang akan menyertai demonstrasi tersebut namun yakin angka itu mampu dicapai kerana budaya berdemonstrasi sudah menjadi satu kebiasaan bagi penyokong parti itu.

“Saya yakin ia boleh dicapai kerana demonstrasi umpama ‘candu’ kepada orang PAS. Mereka suka berdemonstrasi.

“Lagi pun ahli PAS fanatik dan taksub kepada arahan parti. Setakat 300 ribu hanyalah ‘kacang’ kepada PAS. Tetapi apakah objektif ‘Turun Anwar’ boleh tercapai? Sudah tentu tidak,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, tindakan lebih berkesan sekiranya pemimpin seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan kumpulan Ahli Parlimen yang didakwa sudah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri menarik sokongan di Dewan Rakyat.

“Adalah lebih berkesan jika Rafizi dan geng 10 tarik sokongan terhadap Anwar. Impaknya lebih besar jika mereka bawa usul undi percaya di Parlimen berbanding demonstrasi 300 ribu orang ahli PAS,” ujarnya.

Menurut beliau, PAS tidak akan berani mengemukakan usul undi percaya atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri kerana menyedari bahawa UMNO tetap berdiri teguh bersama kerajaan.

“PAS sudah pasti tidak berani bawa usul undi tidak percaya atau percaya di Parlimen. 

"UMNO sudah pasti tidak akan menyokongnya. UMNO komited mempertahankan kerajaan sedia ada demi rakyat dan kestabilan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan demonstrasi yang dirancang PAS itu hanya sekadar satu pertunjukan kekuatan tanpa sebarang impak besar, lebih-lebih lagi jika tiada penyertaan menyeluruh daripada masyarakat sivil.

“Justeru demonstrasi ‘Turun Anwar’ 26 Julai ini hanya tunjuk kekuatan PAS. 

"Impaknya kecil apatah lagi jika tiada penyertaan masyarakat sivil yang menyeluruh,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan