Keluarga Teoh Beng Hock tolak permohonan maaf SPRM

 

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menyifatkan permohonan maaf oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semalam sebagai tidak ikhlas dan langsung tidak menunjukkan sebarang penyesalan.

Menurut wakil keluarga, Teoh Lee Lan, kenyataan Azam hanya menyebut permohonan maaf 'atas penderitaan yang dialami keluarga Teoh dalam tempoh ini' tanpa mengakui penglibatan pegawai SPRM dalam insiden yang menyebabkan kematian mendiang.

“Permohonan maaf tanpa keikhlasan ini hanyalah satu pertunjukan publisiti semata-mata dan kami tidak akan menerimanya!” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock semalam.

Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di balkoni tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas dibawa untuk disoal siasat oleh SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan yang sama pada malam sebelumnya.

Mengulas lanjut, Lee Lan berkata, sejak Pakatan Harapan (PH) kembali membentuk kerajaan pada 2022, Jabatan Peguam Negara pernah mencadangkan bayaran pampasan tambahan kepada keluarga mereka namun tawaran itu ditolak.

“Keluarga Teoh menolak dengan segera dan menegaskan bahawa apa yang dituntut adalah kebenaran dan keadilan — pelaku mesti didakwa menurut undang-undang dan menerima hukuman setimpal. Keluarga Teoh tidak mahukan wang!” katanya.

Jelasnya lagi, Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi yang memperjuangkan hak asasi manusia juga tidak bersetuju bahawa nyawa manusia boleh digantikan dengan wang semata-mata.

“Sekiranya SPRM dan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim benar-benar percaya bahawa wang adalah segala-galanya dan nyawa manusia boleh dipandang enteng sambil menafikan hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keputusan mahkamah dan hak kepada nyawa warganegara Malaysia, sila tunjukkan logik tidak masuk akal ini secara terbuka kepada semua rakyat!” tegasnya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan