Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan peserta Himpunan Turun Anwar yang membawa dan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Mohd. Ismail berkata, insiden itu berlaku semasa perhimpunan yang diadakan pada 26 Julai lalu dan telah dirakam serta dimuat naik ke media sosial oleh pihak-pihak tertentu.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dua siri tangkapan telah dilakukan ke atas dua lelaki tempatan berusia 21 dan 47 tahun pada 28 Julai, selain beberapa peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menyebar kandungan berkaitan turut dirampas.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua individu yang ditangkap akan dibuat,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menyalahgunakannya sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menjejaskan ketenteraman awam.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya.
0 Ulasan