Siapa campur tangan urusan institusi kehakiman?

                                         

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membangkitkan persoalan serius berhubung pendedahan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli mengenai kemungkinan wujud campur tangan dalaman dalam institusi kehakiman.

Menurut beliau, kenyataan Abdul Rahman dalam satu ucapan pada 23 Julai lalu memberi gambaran bahawa kebebasan badan kehakiman tidak hanya terancam oleh campur tangan eksekutif, sebaliknya turut melibatkan tekanan daripada kalangan rakan sejawatan.

“Tan Sri Abdul Rahman Sebli berkata, ‘kebebasan badan kehakiman bukan sekadar mengenai campur tangan eksekutif, tetapi membabitkan rakan-rakan sejawatan dalam menjalankan tugas kehakiman.’

“Katanya lagi, ‘tekanan rakan sekerja boleh menjadi kuasa besar dalam badan kehakiman dan berpotensi mempengaruhi apa saja keputusan kehakiman serta keseluruhan pentadbiran keadilan,’” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd. Puad turut mempersoalkan identiti sebenar ‘rakan sekerja’ yang dimaksudkan Abdul Rahman serta kedudukan mereka dalam hierarki kehakiman.

“Siapa ‘rakan sekerja’ tersebut? Level mana? Apakah itu termasuk Ketua Hakim Negara? 

"Selama ini berbagai pihak hanya menuding jari kepada pihak ‘eksekutif’ khususnya Perdana Menteri,” ujarnya.

Beliau juga hairan mengapa perkara sepenting itu tidak disentuh langsung oleh tokoh-tokoh utama pembangkang yang hadir dalam perhimpunan semalam.

“Kenapa perhimpunan semalam, baik Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak sentuh perkara ini? Mana Majlis Peguam?” soalnya.

Tambah beliau, kenyataan Abdul Rahman adalah satu pendedahan mengejutkan yang membuka mata rakyat terhadap kemungkinan wujudnya pengaruh dalaman dalam sistem kehakiman negara.

“Ini pendedahan mengejutkan. Rakyat tidak tahu campur tangan kehakiman boleh berlaku dari dalam,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Puad menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut.

“Kita harap ‘Geng 9’ Rafizi yang berani itu buat tuntutan RCI terhadap isu terbaru ini. Jangan setakat isu JAC sahaja,” katanya.

BACA LAGI  




Catat Ulasan

0 Ulasan