Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) berpandangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) menyerlahkan kegagalan besar Kerajaan PH-BN dalam memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, bantahan ramai pihak termasuk sebahagian Ahli Parlimen Kerajaan sendiri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peguam terhadap RUU URA sepatutnya mendapat perhatian daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut beliau, ia menggambarkan pertikaian pihak pembangkang terhadap URA selama ini juga berasas kerana mereka yang berada di luar lingkungan pembangkang turut bersama dalam isu tersebut.
"Isu nilai ambang persetujuan serta tempoh hayat bangunan untuk pembangunan semula yang rendah selain masalah gentrifikasi bandar adalah kebimbangan terbesar terhadap RUU URA ini.
"Ironinya, kementerian masih tidak mampu meyakinkan bantahan ramai pihak terhadap pertikaian yang berbangkit sejak tahun lalu.
"Bahkan, kementerian juga gagal menjelaskan rasional di sebalik angka nilai ambang dan pertikaian lain terhadap RUU berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, Ahmad berkata, DUPP turut menggesa para asatizah supaya mengikuti perkembangan isu-isu sebegini secara lebih dekat.
Beliau berkata, soal itu telah dibangunkan atas kerangka fiqh siyadah bagi memenuhi maqasid hifz al-mal al-kabir.
"Ia sepatutnya melalui suatu perbahasan maqasid yang meluas dan teliti, tidak terhenti setakat pengenalan dasar dan RUU semata-mata," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, DUPP mengambil sikap yang tegas supaya KPKT menarik balik teks RUU berkenaan daripada pembentangan kali kedua di Dewan Rakyat esok.
"Bantahan dan kritikan yang diajukan oleh ramai pihak harus diselesaikan dan dipertimbangkan dengan mendalam, bukan sebaliknya dibakulsampahkan kesemuanya.
"Jangan sampai rakyat memberikan signal kedua," katanya.

0 Ulasan