Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan, sebarang tindakan berkaitan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam yang terletak di PJS 4 adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor dan tindakan penguatkuasaan sedang diuruskan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, merujuk kepada muat naik oleh Fikk(@riieey_f) di media sosial Threads bertarikh 26 Januari 2026 dan respon yang diterima dalam muat naik tersebut yang menyeru orang Islam di Selangor untuk tidak membuat bayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta melaksanakan wakaf di Selangor disebabkan isu pencerobohan, ia adalah suatu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, hal ini kerana ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah ia akan menjejaskan hak golongan asnaf di Selangor untuk menerima bantuan daripada kutipan zakat serta merencatkan usaha membangun dan memajukan harta wakaf di negeri itu.
"MAIS menegaskan bahawa LZS bertanggungjawab mengurus, mengutip dan mengagihkan zakat kepada lapan golongan asnaf di Negeri Selangor demi meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi mereka, manakala Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pula bertanggungjawab mengurus, membangun dan memajukan harta wakaf di Negeri Selangor bagi memastikan wakaf dapat dimanfaatkan secara berterusan demi kepentingan umat Islam.
"Tindakan yang menganjurkan boikot sedemikian hanya akan merugikan masyarakat Islam dan menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Islam di Selangor," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Salehuddin berkata, MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan yang berlaku ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di Selangor.
Namun kata beliau, jika tanah yang terlibat merupakan tanah kerajaan negeri yang diwartakan sebagai maksud awam bagi tujuan agama Islam, MAIS sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya diambil bagi mengatasi isu pencerobohan yang berlaku.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan, fitnah atau menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung dengan isu ini.
"Sebarang maklumat lanjut dan pengesahan hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi pihak berkuasa yang berkaitan," katanya.

0 Ulasan