Kenapa buat pusingan U kenaikan elaun on call doktor KKM? - Akmal

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mempersoalkan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung elaun on call pegawai perubatan yang dikatakan tidak dapat dinaikkan.

Menurut beliau, Dr. Dzulkefly dalam kenyataan tahun lalu dan awal tahun ini telah dinyatakan bahawa akan ada kenaikan elaun on call bagi pegawai perubatan.

Dr. Akmal berkata, pengumuman sebelum ini bahawa elaun on call akan dinaikkan memberi semangat kepada petugas kesihatan kerana mereka berasa dihargai biarpun jumlah kenaikan itu kecil berbanding bayaran locum di hospital swasta.

“Tetapi apabila ada pusingan U yang menyatakan bahawa elaun on call tidak dapat dinaikkan pula, maka sejujurnya mereka terasa ditipu dan kecewa. 

"Bukan soal duit, tetapi soal mereka ini yang bekerja siang dan malam untuk menjaga pesakit, tinggalkan masa bersama keluarga untuk menjaga pesakit perlu dihargai segala pengorbanan mereka ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau turut menegaskan, kerajaan perlu berlaku adil terhadap pegawai perubatan memandangkan elaun menteri mencecah ribuan ringgit, sedangkan petugas kesihatan kekal dengan elaun yang tidak setimpal dengan usaha mereka.

“Kalau elaun menteri boleh beribu ringgit nilainya, takkanlah kita nak biarkan mereka ini kekal dengan hanya elaun yang tidak setimpal dengan usaha mereka. 

"Dan jika beginilah layanan terhadap mereka, saya risau lebih ramai lagi doktor dan petugas kesihatan yang lain akan berhijrah ke negara luar. 

"Dan jika mereka berhijrah ke negara luar, bayangkan bagaimana sistem kesihatan kita akan beroperasi dengan baik,” katanya.

Dr. Akmal sekali lagi menegaskan isu elaun itu bukan semata-mata soal duit, sebaliknya soal penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan mereka.

“Jika YB menteri nak lebih faham, saya mencadangkan YB menteri bersama menteri yang lain untuk kerja bersama dengan mereka di hospital selama seminggu dan saya pasti pak menteri semua akan lebih memahami jiwa dan kesukaran petugas kesihatan kita dengan lebih baik. 

"Kerana jika hanya duduk di kerusi empuk, nescaya kita tidak akan mampu memahami mereka dengan baik.

“Dan jika tak boleh dinaikkan elaun, beritahu sahaja secara jujur tak boleh naik, bukan dengan beri harapan akhirnya semuanya hanya tinggal harapan. 

"Kerana mereka lebih rela bekerja dengan penat lelah dari dikencing hidup-hidup,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan