Gambar pertemuan tidak rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un di Beijing semalam menarik tumpuan netizen.
"Secara kebetulan ketemu ketua pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un yang turut hadir menyaksikan perarakan di Dataran Tiananmen.
"Sempat salam dan tegur sapa," katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Beliau mengadakan lawatan kerja di China mulai 31 Ogos hingga semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan bahawa lawatan kerja ke China kali ini tidak sekadar memperkukuh persahabatan erat Malaysia–China, sebaliknya turut memperteguh kedudukan negara di pentas serantau dan antarabangsa.
Beliau amat menghargai hubungan peribadi yang terjalin bersama Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang, yang semakin mekar melalui pertemuan di Tianjin dan Beijing.
"Persahabatan kami bertunjangkan keikhlasan, membuka ruang luas bagi kerjasama strategik yang akan membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara," jelasnya.
Di Tianjin, beliau diberi penghormatan menyampaikan syarahan serta bertemu pemimpin dunia untuk membincangkan perdamaian di Myanmar, kerjasama dua hala, dan derita yang terus menimpa Gaza.
Di Beijing pula, beliau bersama Jinping serta pimpinan dunia menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penamatan Perang Dunia Kedua, satu simbolik penentangan terhadap penindasan dan penjajahan, tatkala dunia dibelenggu sikap hipokrit kuasa-kuasa besar yang membiar dan mengabsahkan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
"Dalam perbincangan yang lebih mendalam bersama Jinping dan Qiang kelmarin, kami meneroka ruang memperluas kerjasama baharu antara dalam pembangunan infrastruktur, pelabuhan, pendidikan, teknologi serta kecerdasan buatan," katanya.
Anwar memberitahu, mesyuarat perniagaan yang diadakan di Tianjin dan Beijing pula membuahkan hasil memberangsangkan, dengan potensi pelaburan bernilai RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi, mencerminkan keyakinan syarikat gergasi China terhadap Malaysia yang semakin utuh.
"Ini termasuk komitmen JD.com kepada potensi pembelian produk Malaysia bernilai RM180 juta, manakala pertemuan dengan China Semiconductor Industry Association membuka prospek eksport bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh 1–2 tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri semikonduktor," ujarnya.
Beliau menambah, lawatan itu juga telah menampilkan Malaysia di pentas dunia, membawa suara keadilan, menolak penindasan dan memperjuangkan kemanusiaan sejagat.
"Penghargaan tertinggi daripada saya dan seluruh delegasi Malaysia atas layanan mesra serta penghormatan luar biasa daripada Kerajaan China yang menghulurkan persahabatan dengan penuh hormat dan keikhlasan," katanya.

0 Ulasan