Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan keyakinannya bahawa semua wang yang pernah diterima sebelum ini, termasuk RM42 juta yang membawa kepada sabitan dalam kes SRC International, merupakan derma dari Arab Saudi.
Memetik laporan MalaysiaGazette semalam, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, laporan media berhubung keterangan Najib dalam perbicaraan saman sivil SRC International Sdn. Bhd. dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi semalam telah disalah tafsir dan tidak menggambarkan maksud sebenar.
Menurut beliau, pelaporan tersebut seolah-olah menggambarkan Najib kini menyedari RM42 juta itu bukan derma Arab, sebaliknya berasal secara tidak langsung daripada SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui kontraktor tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ihsan Perdana Sdn. Bhd.
“Hakikatnya, penjelasan hari ini jelas bahawa Datuk Seri Najib sejak awal hanya mengetahui wang tersebut sebagai derma dari Arab Saudi.
“Pengetahuan beliau mengenai perkara ini tidak pernah berubah sejak dahulu hingga ke hari perbicaraan,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini sedang memberi keterangan dalam prosiding saman sivil yang difailkan SRC dan Gandingan Mentari bagi menuntut semula RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Shafee turut menjelaskan, anak guamnya tidak pernah menerima sebarang maklumat lain berkaitan sumber wang tersebut selain kepercayaan bahawa ia merupakan sumbangan daripada Raja Abdullah dari Arab Saudi.
Katanya, ketika disoal balas oleh peguam SRC, Najib hanya menjawab berdasarkan keputusan mahkamah dalam kes jenayah SRC yang memutuskan wang itu bukan derma Arab, namun keadaan itu tidak bermaksud beliau mengubah kepercayaan peribadinya.
“Jika berdasarkan keputusan mahkamah, itu perkara lain. Tetapi dari segi pengetahuan beliau sendiri, hingga ke hari ini, beliau percaya semua wang yang diterimanya adalah derma dari Arab Saudi,” tegasnya.
Semalam, Najib dilaporkan bersetuju dengan peguam SRC, Kwan Will Sen bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh kemudian, RM42 juta itu tidak berkaitan dengan derma Arab.
Namun, laporan sama turut menyatakan Najib menegaskan bahawa pada waktu wang tersebut diterima, beliau percaya sepenuhnya ia adalah sumbangan dari Arab Saudi.

0 Ulasan