Berbeza pandangan punca ketegangan hubungan Rafizi-Anwar

 


Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu menumpukan usaha untuk mempertahankan kuasa bagi penggal kedua, walau dengan apa cara sekalipun.

Menurut Rafizi, bagi Anwar yang juga Presiden PKR, menjaga hubungan dengan UMNO, DAP, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta pihak-pihak berkepentingan lain dilihat lebih utama daripada segala-galanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan inilah yang menjadi punca ketegangan antara dirinya dan Anwar.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, peluang PKR berada dalam kerajaan seharusnya dimanfaatkan untuk melaksanakan perubahan menyeluruh — bukan hanya dalam aspek pentadbiran ekonomi dan sosial, tetapi juga dalam membina budaya politik yang bersih dan telus seperti yang dilaungkan melalui agenda reformasi selama ini.

“Keutamaan dan kesetiaan bukan kepada batang tubuh, tetapi kepada wawasan yang kita bawa. Lagi pun soal kesetiaan ini tidak sepatutnya timbul langsung. 

"Tidak cukupkah puluhan tahun, dari usia muda, yang kami abadikan berjuang untuk PKR dan beliau, yang banyaknya beliau berada di dalam penjara?” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.

Penjelasan itu sebagai respons kepada pandangan pemerhati politik, Liyana Marzuki yang menyifatkan Rafizi seolah-olah bercita-cita menjadi Perdana Menteri hingga dianggap tidak setia kepada Anwar.

Menafikan dakwaan tersebut, Rafizi menegaskan, jika benar beliau tidak setia dan gilakan jawatan, sudah tentu beliau mengambil jalan mudah dengan “mencium tangan” Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0, sebagaimana dilakukan sebilangan pemimpin PKR, DAP dan Amanah ketika itu.

Beliau menambah, pilihan lain yang juga terbuka padanya ialah bergabung dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mencabar Anwar selepas PRU 2008.

“Malah, keputusan-keputusan yang merintis kepada bebasnya beliau dari penjara dalam tahun 2018, diberi pengampunan diraja dan ada peluang kembali untuk menjadi Perdana Menteri, banyaknya dirintis oleh kami, sedangkan Datuk Seri Anwar (semasa di dalam penjara) tidak bersetuju pun dengan penubuhan PH. 

"Pada ketika itu, beliau tetap percaya PKR tidak akan menang PRU tanpa PAS. Namun, kami teruskan juga kerana kami yakin itu satu-satunya jalan untuk menewaskan BN dalam PRU 2018 yang membuka jalan untuk beliau keluar penjara,” katanya.

Rafizi turut menegaskan bahawa isu kesetiaan hanya dibangkitkan kerana beliau berpandangan PKR mesti berani membawa perubahan walaupun langkah itu mungkin menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakan kerajaan atau pihak berkepentingan lain.

“Itu harapan rakyat kepada kita,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan