GRS gagal, jangan beri peluang perintah Sabah lagi

 

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd. Fazirul Sulaiman menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai satu referendum rakyat terhadap kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam melindungi keperluan asas dan menjamin keselamatan makanan negeri itu.

Menurut beliau, tahap sara diri (SSL) beras Sabah yang hanya berada pada paras 22.6 peratus membuktikan kelemahan dasar pertanian kerajaan negeri dalam memenuhi tanggungjawab asas terhadap rakyat.

“Daripada sepuluh pinggan nasi yang rakyat makan setiap hari, hanya dua datang daripada sawah kita sendiri, manakala lapan lagi diimport dari luar. 

"Ini bukan angka kecil dan ini bukti nyata kegagalan dasar pertanian GRS,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mohd. Fazirul berkata, kegagalan tersebut bukan sekadar isu ekonomi, sebaliknya menyentuh soal maruah dan kedaulatan rakyat Sabah yang kini bergantung kepada bekalan import.

“Bayangkan jika berlaku gangguan bekalan import atau krisis global, dapur rakyat Sabah akan menjadi kosong dalam masa beberapa minggu. 

"Negeri yang kaya dengan tanah subur kini berdiri di ambang krisis makanan kerana kerajaan yang lemah dan dasar yang cuai,” ujarnya.

Beliau turut menyindir dakwaan GRS bahawa pelaksanaan dasar mereka mencapai 94 peratus sebagai “propaganda angka tanpa realiti” kerana prestasi sebenar sektor pertanian didakwa jauh ketinggalan.

Katanya, Sabah memerlukan kerajaan baharu yang berani membina semula sawah di Kota Belud, Beluran, Pitas dan Keningau dengan pendekatan moden, sistem pengairan baharu serta jaminan harga kepada pesawah.

Mohd. Fazirul turut mencadangkan penubuhan Tabung Jaminan Beras Negeri sebagai stok strategik dan dana kecemasan yang diurus secara telus oleh agensi negeri serta koperasi tempatan bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi.

“SSL 22.6 peratus bukan sekadar statistik. Ia adalah jeritan rakyat lapar di bumi yang kaya. 

"Siapa yang gagal menjaga makanan rakyat, tidak wajar lagi diberi peluang memerintah,” tegasnya.

Beliau menyeru rakyat Sabah supaya menggunakan peluang dalam Pilihan Raya Negeri akan datang untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap kegagalan GRS yang disifatkannya sebagai “kerajaan yang lebih banyak menabur janji daripada menunaikan tanggungjawab.”

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan