Insiden rogol dalam kawasan sekolah cetus ketakutan - PAS Melaka

 

PAS Melaka menzahirkan rasa dukacita, sedih dan terkejut dengan kejadian rogol membabitkan pelajar di kawasan sekolah di Alor Gajah seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Ahmad Bilal Rahudin berkata, kejadian itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar yang selama ini meyakini kawasan sekolah sebagai tempat paling selamat.

“Namun, apa yang berlaku ini sesuatu yang mengejutkan dan menghilangkan kepercayaan ibu bapa serta pelajar terhadap tahap keselamatan di dalam kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, insiden itu menjadi petanda buruk bukan sahaja terhadap sistem keselamatan sekolah, tetapi turut menggambarkan kelemahan menyeluruh dalam sistem pendidikan negara ketika ini.

“Apabila sesetengah pelajar yang tidak bermoral berani melakukan jenayah rogol di dalam kawasan sekolah sendiri, ia membuktikan banyak perkara tidak kena dengan sistem pendidikan kita.

“Ini terbukti dengan banyak kejadian buruk berlaku di sekolah akhir-akhir ini seperti kes buli hingga menyebabkan kematian, pelajar mati jatuh dalam tangki septik dan kini kejadian rogol pula,” ujarnya.

Ahmad Bilal menegaskan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua insiden tersebut dan tidak sekadar menzahirkan rasa kecewa.

Katanya, kementerian juga perlu mengumumkan langkah lebih tegas dan berkesan bagi mengelak kejadian sama berulang serta bertindak proaktif mengenal pasti masalah lain yang mungkin sedang berlaku di sekolah.

“Selain buli dan rogol, isu peras ugut, gengsterisme, pergaduhan, seks bebas, penagihan dadah, kunjungan ke pusat hiburan dan arak juga perlu diberi perhatian sebelum menimbulkan kes menakutkan seperti ini,” katanya.

Menurutnya lagi, PAS Melaka berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan terperinci supaya pelaku keji itu menerima hukuman setimpal.

“Kami turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar keadilan dapat ditegakkan dengan segera,” katanya.

Ahmad Bilal berkata, kejadian itu wajar menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah soal keselamatan walaupun berada di tempat yang disangka selamat.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan