3 Ahli Parlimen PH desak tubuh RCI siasat ART Malaysia-AS

 

Tiga Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) iaitu Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan) menggesa Kerajaan Madani menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat Perjanjian Antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia Berkenaan Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu.

Menurut mereka, kenyataan itu dikeluarkan bukan atas kapasiti rasmi jawatan, sebaliknya sebagai Ahli Parlimen yang mengangkat sumpah untuk memelihara taat setia kepada Malaysia dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa perjanjian tersebut sangat berat sebelah dan memihak kepada AS, selain ditandatangani tanpa analisis kos faedah yang menyeluruh serta tanpa konsultasi awam yang mencukupi.

“Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka turut menegaskan bahawa beberapa artikel dalam perjanjian, khususnya Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, boleh mengehadkan hak kedaulatan Malaysia serta memaksa negara ini sejajar dengan kepentingan keselamatan dan ekonomi AS.

“Senario ini merupakan satu penyimpangan besar daripada dasar luar dan dasar perdagangan Malaysia yang telah lama berpegang kepada prinsip berkecuali aktif dan keutamaan ASEAN,” katanya.

Bagaimanapun, menurut mereka, Malaysia masih mempunyai dua pilihan dari segi undang-undang untuk mempertahankan kepentingan kedaulatannya iaitu sama ada memohon pindaan kepada Perjanjian di bawah Artikel 7.3 atau menamatkannya di bawah Artikel 7.4.

“Kami bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pada 30 Oktober lalu telah menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia mempunyai ‘exit clause’ dan boleh menamatkan Perjanjian sebagai jalan keluar daripada persoalan kedaulatan tersebut,” katanya sambil menambah bahawa Jabatan Peguam Negara turut mengesahkan hak itu pada 3 November lalu.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan negatif langsung dan tidak langsung daripada perjanjian tersebut, termasuk imbangan dagangan, implikasi fiskal serta aliran keluar pelaburan, selain kemungkinan menjejaskan perjanjian perdagangan bebas sedia ada.

Pada masa sama, mereka mengakui terdapat beberapa manfaat dalam bidang perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal serta aspek hak pekerja dan perlindungan alam sekitar.

Bagi menangani isu tersebut, mereka mencadangkan beberapa langkah utama kepada Kerajaan Madani, antaranya menubuhkan RCI bagi menyiasat semua perkara berkaitan penandatanganan Perjanjian termasuk dakwaan Malaysia “dipaksa” berunding serta menilai mengapa perjanjian penuh dipilih dan bukan memorandum persefahaman. 

Mereka juga menggesa kerajaan melantik peguam perdagangan antarabangsa dan pakar luar untuk meneliti serta mencadangkan pindaan terhadap Artikel yang menjejaskan kedaulatan negara.

Selain itu, mereka mahu kerajaan menubuhkan pasukan khas pakar perdagangan dan ekonomi bagi menjalankan analisis kos faedah menyeluruh terhadap kesan ekonomi perjanjian itu serta membentuk pasukan penasihat dasar luar untuk menilai implikasi geopolitik terhadap hubungan Malaysia dengan ASEAN, BRICS, OIC dan Negara-Negara Selatan Global.

Mereka turut mencadangkan agar MITI menubuhkan bahagian khas bagi menyelaras dan memberi maklumat terkini kepada kementerian, pelabur serta industri berkaitan perkara-perkara seperti akses pasaran, tenaga kerja, alam sekitar dan perdagangan digital.

Menurut mereka, langkah-langkah itu perlu diambil segera bagi memastikan kepentingan kedaulatan dan ekonomi negara dilindungi dengan sepenuhnya.

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan