Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur pendekatan konsep ‘payung besar’ yang pada asalnya dicadangkan untuk menyatukan orang Melayu, namun kini dilihat menjadi punca perpecahan dalam kalangan bangsa itu sendiri.
Menurut beliau, cadangan yang pada mulanya diterima baik oleh orang Melayu dan disokong pemimpin kini tersasar daripada matlamat asal apabila muncul pelbagai kelompok baharu yang mendakwa memperjuangkan perpaduan.
“Sejak konsep payung besar dicadang, ramai orang Melayu menerimanya sebagai cara menyatupadu mereka.
"Pemimpin-pemimpin pun sokong. Dan mereka pun mengadakan payung besar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dr. Mahathir berkata, keadaan kini menjadi semakin bercelaru apabila wujud empat hingga lima ‘payung besar’ yang masing-masing mengadakan kempen bagi menarik sokongan rakyat.
“Sekarang sudah ada empat lima payung besar yang bertujuan menyatukan orang Melayu.
"Dan kempen pun diadakan untuk menarik sokongan orang kepada payung besar-payung besar ini,” jelasnya.
Namun katanya, keadaan itu hanya menyebabkan perpecahan apabila masyarakat berpecah memilih antara pelbagai ‘payung besar’ yang diwujudkan.
“Rakyat boleh pilih. Maka terbahagilah rakyat di antara payung besar-payung besar ini. Semua payung-payung ini tidak dapat dipenuhi. Banyak kekosongan berlaku.
"Hasilnya ialah perpecahan orang Melayu. Sama seperti orang Melayu berpecah kerana parti politik yang banyak. Dengan adanya beberapa payung besar maka bukan perpaduan yang berlaku. Tetapi perpecahan,” tegasnya.
Dr. Mahathir menambah, terdapat sesuatu yang tidak kena dengan cara penerimaan terhadap cadangan itu dan menyeru agar orang Melayu menilai semula pendekatan tersebut.
“Ada sesuatu yang tidak betul dengan penerimaan cadangan payung besar. Sama-samalah kita bangsa Melayu berfikir,” katanya.

0 Ulasan