Calon PH bagi DUN Silam tarik diri

 


Calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Halim Sidek Gulam Hassan disahkan menarik diri daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu dihormati kerana dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat untuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah.

“Saya ingin menegaskan keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar. 

"Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mustapha berkata, walaupun tidak bertanding, Abdul Halim Sidek yang juga ahli PKR komited untuk terus berkhidmat kepada penduduk Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu disumbangkan.

“Kami menghargai semangat perjuangan Abdul Halim Sidek yang tidak pernah pudar demi rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya agar kekal tenang, terus fokus dan memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan serta masa depan rakyat Sabah.

Terdahulu, kerusi DUN Silam menjadi tumpuan apabila Abdul Halim Sidek menyerahkan borang pencalonan pada saat akhir, menyaksikan pertembungan dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin GRS kerana dianggap melanggar persetujuan awal antara kedua-dua pihak.

Dengan pengumuman penarikan diri Abdul Halim Sidek, DUN Silam kini menyaksikan pertandingan lapan penjuru antara calon GRS; Warisan; Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Damai Sabah (SPP); Parti Impian Sabah (PIS); Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta seorang calon Bebas.

Pada PRN-16 Sabah, DUN Silam yang sebelum ini dikenali sebagai Lahad Datu dimenangi calon Warisan, Dumi Pg Masdal dengan majoriti 1,542 undi dalam pertembungan enam penjuru.

BACA LAGI 







Catat Ulasan

0 Ulasan