UMNO tidak pernah mendesak MIC memohon maaf berhubung tindakan parti itu meneroka pakatan dan kerjasama politik baharu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi, berkata, adalah lebih wajar MIC memohon maaf kepada masyarakat India jika benar berasa bersalah sehingga dihukum teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau menegaskan, MKT UMNO juga tidak pernah berbincang atau mendesak MIC memohon maaf apabila presiden parti itu, Tan Sri SA Vigneswaran, menuduh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai penipu.
Mohd. Puad mendakwa MIC juga tidak pernah berbincang dengan UMNO ketika menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Julai 2020, dan apabila keluar PN pada Ogos 2020, ia bukan kerana paksaan UMNO.
Beliau berkata, UMNO bahawa sedar MIC bukan parti junior.
Masalah MIC, menurut Puad, sebenarnya berpunca daripada seorang dua pemimpin yang gagal mendapatkan jawatan.
“Walhal itu prerogatif PMX. Wakil rakyat MIC tidak ada masalah. Mereka tetap berkhidmat dengan baik,” ujarnya dalam hantaran Facebook hari ini.
Puad menambah, perwakilan MIC menyerahkan kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan sama ada keluar daripada Barisan Nasional (BN), tetapi jangan pula menggunakan hadiah bunga daripada perdana menteri untuk berdolak-dalik.
“Kalau mahu sertai PH (Pakatan Harapan), tiada yang larang. Vigneswaran bukan ‘junior politician’. Bukan budak-budak,” katanya.
Semalam, perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam BN pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79.
Walau bagaimanapun, perwakilan menyerahkan kepada kepemimpinan MIC untuk memutuskan sama ada parti akan keluar dan membentuk jajaran baharu bersama PN pada masa yang sesuai.
Vigneswaran menegaskan, MIC tidak akan meminta maaf kepada UMNO kerana tindakannya meneroka pakatan dan kerjasama politik baharu demi kelangsungan parti berteraskan masyarakat India.

0 Ulasan