Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) selepas empat tahun bersama gabungan itu.
Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan ia dibuat ketika bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin membara.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti diadakan bagi membincangkan halatuju kepimpinan berasaskan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan parti berkenaan.
“Mesyuarat khas ini menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda Sabah First sebagai asas dalam perundingan manifesto pilihan raya gabungan berkenaan serta dalam perbincangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai Pengerusi PH.
Bagaimanapun katanya, berlaku jurang pandangan dan pendirian antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional berhubung pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan autonomi pentadbiran PH Sabah.
“Kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.
"Malah UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH,” ujarnya.
Nelson berkata, walaupun Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai ‘koordinator’, keputusan-keputusan penting berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH tetap diputuskan oleh PKR tanpa memberi autonomi sebenar kepada PH Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini.
“UPKO menilai semula hala tuju perjuangan dan kami menyimpulkan hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang betul-betul memahami denyut nadi, jiwa dan impian masa depan Sabah berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 serta hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya hak 40 peratus,” katanya.
Beliau berkata, UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah itu adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.
“UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Menurutnya, hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus terus dijayakan namun mesti berasaskan semangat, tujuan serta pelaksanaan sebenar MA63.
“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan mengambil kira seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan dimulakan melalui pilihan raya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta.
"Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga penggal ini berakhir.

0 Ulasan