Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menolak cadangan pakar agar pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 55 tahun digantikan dengan bayaran bulanan.
Presidennya, Azmi Mohd. Tahir berkata, pandangan tersebut tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi pencarum.
"Terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan, tidak lagi aktif mencarum atau bergantung sepenuhnya kepada simpanan KWSP sebagai sandaran kewangan.
"Mereka juga memerlukan simpanan KWSP untuk keperluan mendesak seperti perubatan, pendidikan, atau kos sara hidup serta bergantung sepenuhnya kepada simpanan KWSP sebagai sandaran kewangan," katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, sebagai organisasi yang memperjuangkan hak asasi dan kesejahteraan rakyat, PGIRM menekankan beberapa prinsip utama yang perlu diambil kira sebelum sebarang perubahan dasar dibuat.
“Pertama, hak pencarum untuk mengakses simpanan mereka secara adil perlu dihormati.
“Kedua, solusi wajar dan bersasar harus dipertimbangkan seperti pindahan atau pengeluaran mengikut kategori simpanan, skim bayaran berperingkat hanya bagi pencarum yang bersedia dan sesuai, serta perlindungan ke atas pencarum yang hilang pekerjaan atau memerlukan dana segera.
“Ketiga, libat urus menyeluruh dengan pencarum, pihak berkuasa dan pakar adalah penting sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan,” katanya.
Azmi turut menyeru agar semua pihak memastikan setiap cadangan dasar mengambil kira kepentingan rakyat dan hak pencarum, bukan semata-mata berasaskan statistik atau teori.
“Suara pencarum mesti sentiasa didengar dalam setiap keputusan kerana mereka adalah pihak yang paling terkesan,” katanya.

0 Ulasan