Penyandang kerusi DUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus Pemberian Khas kepada Sabah sebagai pengiktirafan penting terhadap kedudukan negeri itu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan kenyataan media Jabatan Peguam Negara yang dikeluarkan hari ini, sekali gus memperkukuh kedudukan undang-undang Sabah dalam menuntut hak perlembagaan yang termaktub.
“Merujuk kepada kenyataan media Jabatan Peguam Negara pada 11 November 2025, Kerajaan Persekutuan mengesahkan bahawa hak 40 peratus Pemberian Khas Sabah tidak akan dirayu.
"Ini satu pengiktirafan penting terhadap kedudukan Sabah dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salleh berkata, kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa rundingan rasmi antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan akan dimulakan segera, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan terhad terhadap beberapa dapatan teknikal dalam alasan penghakiman, khususnya yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ketidakaturan prosedur sejak tahun 1974.
“Rayuan ini tidak melibatkan hak 40 peratus, tetapi bertujuan memperjelas rekod perundangan,” katanya.
Beliau menambah, dengan perkembangan terbaharu itu, Sabah kini memasuki fasa rundingan dalam kedudukan yang lebih jelas dan teratur, berlandaskan asas undang-undang yang telah disahkan oleh mahkamah.
“Keutamaan kini adalah rundingan yang profesional, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah, agar hasilnya benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan generasi akan datang,” katanya.

0 Ulasan