![]() |
| Gambar hiasan: Justiniano Adriano / Pexels |
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegaskan cadangan pelupusan kenderaan lama tidak seharusnya membebankan rakyat dengan komitmen kewangan baharu, sebaliknya perlu berpaksikan kepada realiti ekonomi semasa.
Presidennya, Azmi Mohd. Tahir berkata, ramai pemilik kenderaan memaklumkan bahawa mereka enggan atau tidak mampu mengambil komitmen kewangan tambahan dalam keadaan ekonomi ketika ini.
“PGIRM memandang serius cadangan supaya rakyat melupuskan kenderaan lama dan digalakkan membuat pinjaman bagi mendapatkan kenderaan baharu.
"Cadangan sedemikian, walau berhasrat meningkatkan keselamatan dan kecekapan alam sekitar, tidak selari dengan realiti ekonomi majoriti rakyat ketika ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas laporan Sinar Harian 15 Oktober lalu mengenai cadangan kerajaan memperkenalkan geran padanan sehingga RM4,000 bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan lama.
Menurut Azmi, fakta di lapangan menunjukkan ramai rakyat bergelut dengan pendapatan yang tidak seiring kenaikan kos sara hidup, malah sebahagian besar pencarum turut terkesan dengan tekanan kewangan jangka panjang termasuk rekod CCRIS dan CTOS yang menghalang kemampuan mereka memperoleh pinjaman baharu.
“Menggesa rakyat menambah hutang dalam situasi ini bukanlah solusi yang realistik,” tegasnya.
Beliau berkata, ramai rakyat ingin mengekalkan kenderaan sedia ada kerana pendapatan tidak mencukupi untuk menanggung komitmen baharu, kestabilan bulanan menjadi keutamaan berbanding peningkatan liabiliti, dan mereka tidak mahu mengambil risiko kegagalan bayaran yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan keluarga.
Sehubungan itu, katanya, PGIRM berpandangan dasar yang lebih berpaksikan rakyat perlu diberi keutamaan, antaranya program bantuan pembaikan kenderaan bersasar bagi golongan B40 dan M40, subsidi alat ganti kritikal, peningkatan kualiti pengangkutan awam serta pelaksanaan dasar “trade-in bersyarat” tanpa peningkatan beban pinjaman bagi yang benar-benar layak.
Azmi berkata, cadangan dasar yang menuntut rakyat berhutang hanya wajar dipertimbangkan apabila pendapatan rakyat meningkat secara nyata dan sistem pengangkutan awam telah berada pada tahap yang mapan.
“Dasar perlu dibentuk berdasarkan keadaan hidup rakyat sebenar, bukan berdasarkan andaian bahawa semua mampu menambah komitmen kewangan tanpa menjejaskan kebajikan keluarga masing-masing.
“PGIRM tetap konsisten bahawa sebarang pembaharuan dasar ekonomi tidak boleh meminggirkan golongan yang paling terkesan, iaitu rakyat yang bekerja keras tetapi masih berhadapan tekanan kos hidup harian. Perjuangan ini adalah untuk memastikan suara rakyat terus berada di hadapan meja pembuat dasar,” katanya.

0 Ulasan