Apa punca BN Sabah lemah?

 

Penganalisis politik, Datuk Eric See-To berpandangan kelemahan Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini berpunca daripada siri keputusan strategik yang dianggap sebagai kesilapan besar sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018 dan 2020, sehingga masa depan parti itu di negeri berkenaan dilihat semakin suram.

Menurut beliau, faktor utama yang melemahkan BN Sabah bermula apabila kemenangan BN pada PRN 2018 gagal dipertahankan walaupun Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

“Selepas lama saya pendam kerana Datuk Seri Najib Razak pernah minta saya jangan sebut, saya rasa sudah tiba masanya untuk ceritakan perkara sebenar tentang kenapa BN Sabah menjadi begitu lemah hari ini, dan kenapa masa depannya di sana nampak seperti menuju kehancuran,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Eric menjelaskan, akibat tekanan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN melompat parti sehingga kerajaan negeri diambil alih oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan.

“Pada tahun 2018, BN Sabah sebenarnya menang PRN dan Musa Aman sudah pun angkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Namun, akibat tekanan Mahathir ketika itu, beberapa ADUN BN melompat, menyebabkan Shafie Apdal dan Warisan mengambil alih kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, pada tahun 2020 selepas kejatuhan Mahathir, Musa Aman sekali lagi berjaya mengumpulkan sokongan ADUN yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Warisan, namun usaha itu tidak berjaya apabila Gabenor Sabah menolak untuk melantik Musa sebagai Ketua Menteri.

“Sebaliknya, dia benarkan Shafie bubarkan DUN dan memaksa PRN diadakan – walaupun ketika itu Sabah sedang menghadapi situasi Covid yang serius,” katanya.

Eric turut mengingatkan bahawa sebelum PRN Sabah 2020 bermula, sekurang-kurangnya 18 daripada 25 Ketua Bahagian UMNO Sabah tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai ketua BN Sabah, malah 13 daripadanya tampil membuat sidang media bersama menyatakan pendirian.

“Mereka mahukan Musa Aman kembali kerana majoriti ADUN – termasuk PPBM Sabah – masih setia kepadanya ketika itu. Tetapi UMNO pusat berkeras memilih Bung Moktar – dan inilah kesilapan besar dan paling fatal UMNO pusat berkenaan Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan itu menyebabkan Musa Aman dan Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak dicalonkan langsung walaupun Musa baru sahaja berjaya menumbangkan kerajaan Warisan. Walaupun BN masih menang 14 daripada 31 kerusi hasil kempen kuat Datuk Seri Najib Razak, Eric yakin BN akan menang besar sekiranya Musa mengetuai BN Sabah ketika itu.

“Jika Musa Aman mengetuai BN Sabah pada masa itu, saya yakin BN akan menang besar, PPBM Sabah tidak akan wujud, dan GRS pun tidak akan terbentuk,” katanya.

Eric menambah, kesilapan kedua yang lebih parah berlaku pada awal 2023 apabila UMNO Sabah cuba menumbangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyebabkan BN terkeluar daripada kerajaan negeri dan lebih ramai ADUN serta pemimpin UMNO Sabah keluar parti menyertai GRS.

“Disebabkan perbalahan berterusan antara BN Sabah dan GRS akibat langkah Kinabalu 2022 itu, GRS meletakkan calon melawan BN di semua 45 kerusi yang ditandingi BN. Natijahnya: BN hanya menang 6 kerusi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Ketua BN Sabah sendiri hampir tewas kepada calon bebas dengan majoriti tipis 153 undi, yang kini sedang dicabar di mahkamah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan kiraan semula seperti diminta calon bebas.

“Selepas kalah teruk, BN Sabah terpaksa telan balik kata-kata sendiri kononnya tidak akan bekerjasama dengan GRS. Akhirnya, merekalah yang pergi meminta GRS menerima mereka kembali dalam kerajaan – walaupun ramai ADUN GRS dan UPKO, Pemuda GRS dan Pemuda UMNO sendiri membantah,” katanya.

Eric menegaskan BN hanya diberi satu jawatan menteri dalam kerajaan pasca PRN 2025, dan jawatan itu pula bukan kepada Ketua BN Sabah.

“Paling memualkan, sejak PRN selesai, Bung Moktar masih langsung tidak bersuara. Sebagai ketua, dialah sepatutnya orang pertama tampil memberi analisis, arah tuju dan semangat – tetapi sehingga kini, diam seribu bahasa. Jadi, sudah tiba masanya Bung Moktar pikul tanggungjawab atas kegagalan yang berlarutan sejak lima tahun lepas dan meletakkan jawatan sebagai Ketua BN Sabah. Lebih baik fokus selesaikan kes rasuah dia dan isterinya yang masih berjalan di mahkamah,” katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan