Berikut adalah kenyataan media Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Wilayah Persekutuan, Ts. Dr. Subash Chandrabose M. Arumugam pada 9 Mac 2026:
Saya mengambil maklum mengenai pelantikan 11 orang Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun 2026 yang baru diumumkan.
Namun begitu, amat mendukacitakan apabila pelantikan kali ini langsung tidak melibatkan wakil daripada masyarakat India.
Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar raya yang terbina atas kepelbagaian kaum dan budaya. Struktur sosial ibu negara ini terdiri daripada pelbagai etnik termasuk Melayu, Cina, India serta komuniti lain yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan keharmonian bandar raya ini.
Dalam konteks pentadbiran bandar, representasi pelbagai kaum adalah penting bagi memastikan setiap isu masyarakat dapat difahami, dinilai dan ditangani secara menyeluruh. Bagi komuniti India khususnya, kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil dalam barisan Ahli Lembaga Penasihat DBKL amat signifikan untuk menyuarakan serta memahami isu-isu yang melibatkan kebajikan, pembangunan komuniti dan keperluan setempat masyarakat tersebut.
Amalan sebelum ini lazimnya memastikan adanya wakil daripada pelbagai kaum bagi mengekalkan keseimbangan dan keadilan dalam proses konsultasi serta nasihat kepada pihak DBKL. Oleh itu, ketiadaan langsung wakil masyarakat India dalam pelantikan kali ini menimbulkan persoalan serta kekecewaan dalam kalangan masyarakat, khususnya di Kuala Lumpur.
Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah: adakah Kementerian Wilayah Persekutuan telah terlepas pandang kepentingan kebajikan serta suara masyarakat India di ibu negara?
Saya berharap pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dapat meneliti semula perkara ini dan mempertimbangkan pelantikan wakil daripada masyarakat India bagi memastikan prinsip keterangkuman, keseimbangan dan keadilan dalam pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur terus terpelihara.
Kuala Lumpur adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh itu, suara setiap komuniti harus diberi ruang dalam proses membuat keputusan demi pembangunan bandar raya yang inklusif dan sejahtera.

0 Ulasan