Fathul Bari tegur Vida salah tafsir ayat al-Quran sebagai pelaris jualan

 



Pendakwah, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menegur usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida kerana memberi tafsiran yang salah terhadap tafsiran ayat al-Quran bagi mengaitkan dengan amalan membuka pintu rezeki.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman dilihat berbuat demikian dalam rakaman video yang tular melalui media sosial baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan Fathul Bari seperti yang disiarkan dalam laman Facebook beliau pada 12 Mac 2026:

"RABBUKA": BUKA PINTU REZEKI & PINTU GOL????

oleh: Dr Fathul Bari Mat Jahya

1.Nas al-Quran tidak boleh digunakan sesuka hati.

Dalam Islam, penggunaan ayat al-Quran mempunyai disiplin yang jelas. Kita tidak boleh menetapkan kaedah bacaan tertentu, tafsiran tertentu, fadhilat khusus, waktu tertentu atau tempat tertentu untuk membaca sesuatu ayat atau surah melainkan terdapat dalil yang sahih daripada al-Quran atau al-Sunnah.

Menisbahkan sesuatu amalan kepada al-Quran tanpa sandaran yang sahih adalah perbuatan yang sangat serius kerana ia melibatkan agama.

2.Surah yang dimaksudkan ialah Surah al-Fīl.

Surah al-Fīl ialah surah ke-105 dalam al-Quran, terdiri daripada 5 ayat dan diturunkan di Makkah (Makkiyyah).

Surah ini menceritakan peristiwa besar sebelum kelahiran Nabi Muhammad ﷺ, iaitu cubaan tentera bergajah pimpinan Abrahah untuk menghancurkan Kaabah, lalu Allah menghancurkan mereka dengan azab-Nya.

3.Tiada hadis sahih tentang fadhilat khusus Surah al-Fīl.

Tidak terdapat riwayat yang sahih daripada Nabi ﷺ yang menyatakan kelebihan spesifik Surah al-Fīl, apatah lagi mengaitkannya dengan tujuan-tujuan tertentu seperti membuka rezeki atau seumpamanya.

Yang ada hanyalah kelebihan umum membaca al-Quran, sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan digandakan sepuluh.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2910)

4.Perkataan “Rabbuka” bukan bermaksud “buka”.

Dalam Surah al-Fīl terdapat pengulangan perkataan رَبُّكَ (Rabbuka) yang bermaksud “Tuhanmu”.

Ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan perkataan “buka” dalam bahasa Melayu.

Mengaitkan pengulangan kalimah tersebut dengan konsep “membuka rezeki” hanyalah andaian bahasa yang tidak berasas dan tidak pernah disebut dalam mana-mana rujukan tafsir yang muktabar.

Begitu juga kaedah mengulangi perkataan “Rabbuka” secara khusus, ia tidak mempunyai sandaran daripada al-Quran, hadis sahih, atau amalan para ulama.

5.Kaedah yang benar: bertawassul dengan amal soleh, nama-nama & sifat-sifat Allah.

Antara adab doa yang dianjurkan dalam Islam ialah bertawassul dengan amal soleh, nama-nama serta sifat-sifat Allah.

Al-Quran adalah kalamullah. Pada waktu yang sama; membaca al-Quran adalah salah satu amal soleh yang sangat mulia, maka seseorang boleh berdoa selepas membacanya dengan cara seperti berikut:

“Ya Allah, aku telah membaca Al-Quran (kalam-Mu), Dengan rahmat-Mu, kurniakanlah kepadaku keberkatan, permudahkanlah urusanku dan murahkanlah rezekiku.”

Ini adalah kaedah yang selari dengan prinsip syarak, tanpa mereka-reka fadhilat atau kaedah yang tidak bersumberkan dalil.

6.Teguran demi menjaga disiplin ilmu agama.

Saya bersangka baik bahawa individu yang menyatakan perkara tersebut mungkin tidak menyedari kekeliruan yang berlaku. Namun kerana kenyataan tersebut telah menjadi viral dan berpotensi mengelirukan masyarakat, maka teguran ini perlu dibuat.

Sebagai umat Islam, kita mempunyai disiplin yang ketat dalam menukilkan nas agama.

Ayat al-Quran bukan bahan "marketing" yang boleh digunakan sesuka hati, apatah lagi untuk mencipta kaedah amalan yang tidak mempunyai sandaran.

KISAH BEKAS PENJAGA GOL KEBANGSAAN 

Saya teringat beberapa sahabat dari sebuah pasukan bola sepak negeri pernah berkongsi amalan yang hampir sama, tetapi dilakukan oleh penjaga gol.

Caranya, penjaga gol membaca sebahagian ayat Surah al-Fīl:

“Alam tara kaifa fa‘ala RABB (sambil menutup mulut)…”

Kemudian dia berhenti pada perkataan “Rab” sambil memukul tiang gol yang dijaganya.

Apabila masuk separuh masa kedua dan pasukan bertukar gawang, sebelum meninggalkan gawang yang dijaganya tadi, dia akan menyambung bacaan:

“Alam tara kaifa fa‘ala RABBUKAAAA…”

sambil memukul tiang gol tersebut, dengan harapan penjaga gol lawan akan mudah dibolosi.

Jelas amalan seperti ini bercanggah dengan ajaran agama, namun begitulah realitinya apabila kejahilan dalam memahami agama berleluasa.

NASIHAT SAYA:

Berhati-hatilah apabila bercakap tentang al-Quran. Jangan sewenang-wenangnya menisbahkan sesuatu amalan kepada agama tanpa rujukan yang sahih daripada al-Quran, hadis dan ulama yang muktabar.

Kerana al-Quran bukan untuk ditunggang demi kepentingan tertentu, tetapi untuk difahami, dihormati dan diamalkan dengan disiplin ilmu yang benar.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan