PAS tolak tawaran UMNO sertai Rumah Bangsa

 

PAS tidak bersedia memasuki Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO yang dikatakan bernaung di bawah bumbung yang nyata tidak selamat, laksana berada di bawah payung buruk yang sudah mengalami banyak kerosakan sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan yang lebat. 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kain peneduhnya sudah tiada dan masih terdapat besi-besi tajam yang membahayakan. 

Menurut beliau, lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya.

"Akibatnya, godaan yang menyebabkan seseorang itu beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain, akan membawa kepada bahaya dan akibat yang lebih besar. 

"Mereka ditimpa seksaan di dunia sebelum menghadapi seksaan di akhirat kerana kemurkaan Allah," katanya dalam kenyataan pada 12 Mac 2026.

Abdul Hadi menambah, PAS dan ahlinya yang beristiqamah tidak terpengaruh dengan umpan serta tipu daya syaitan dan sekutunya, yang selama ini menjadi senjata lapuk dalam kalangan UMNO yang jahil dan diteruskan pula apabila UMNO bersahabat karib dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, Senjata lapuk tersebut telah gagal mempertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, sehingga terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan minoriti yang bergantung kepada sokongan hantu (pihak tertentu) dari dalam negeri dan luar negara. 

"Pendekatan tersebut hanya boleh menggoda dan menarik pengundi warga tua di saluran satu bersama sokongan kalangan bukan Islam.

"Adapun pengundi muda yang mula bijak berfikir secara lebih matang, mereka telah menolak PH sejak PRU-15 sebagaimana mereka menolak Barisan Nasional (BN) sebelumnya, disebabkan gabungan itu bersama sokongan musuh Islam daripada kalangan bukan Islam dalam DAP yang memperjuangkan politik merampas kuasa secara halus dengan pujukan godaan syaitan yang menarik. 

"Sehinggakan, sebahagian daripada orang Melayu turut menjadi pendukung yang memberikan walak kepada musuh, sekali gus menjenamakan UMNO bersama parti-parti lain yang berada dalam satu saf bersamanya," jelasnya.







Catat Ulasan

0 Ulasan