Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar terus dijadikan bahan retorik politik yang memecah-belahkan rakyat, sebaliknya perlu dibincangkan secara waras dan berasaskan ilmu demi masa depan pendidikan negara.
Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, perbahasan mengenai UEC sering kali diangkat sebagai isu panas seolah-olah ia menjadi simbol ancaman kepada identiti Melayu atau bukti ketidakadilan kepada komuniti bukan Melayu.
Namun katanya, apabila isu itu diteliti dengan akal dan hati yang terbuka tanpa pengaruh emosi, ia jelas jauh lebih besar dan kompleks daripada apa yang dipaparkan di media sosial atau pentas politik.
“Ia bukan sekadar soal peperiksaan, tetapi ia adalah tentang bagaimana kita sebagai sebuah negara yang majmuk mengurus kepelbagaian, menjaga dasar nasional, dan pada masa yang sama memanfaatkan segala potensi anak bangsa tanpa mengira latar belakang pendidikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, UEC bukanlah sistem yang muncul secara tiba-tiba atau lahir daripada agenda politik semasa, sebaliknya terbina daripada sejarah panjang pendidikan Cina di Malaysia yang berkembang melalui usaha masyarakat sendiri.
“UEC menjadi ruang bagi anak-anak yang ingin mengekalkan bahasa, budaya, dan nilai pendidikan mereka. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan kebangsaan pula dibangunkan dengan tujuan menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui satu kerangka yang kukuh.
“Di sinilah wujudnya jurang persepsi, bilamana ada yang melihat perbezaan sebagai ancaman, sedangkan yang lain melihatnya sebagai tambahan kekayaan intelektual negara,” katanya.
Nurulhidayah berkata, kebimbangan sebahagian masyarakat Melayu terhadap UEC tidak muncul tanpa sebab kerana mereka bimbang jika pengiktirafan terhadap sijil itu akan melemahkan kedudukan Bahasa Melayu, merendahkan nilai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atau menjejaskan dasar pendidikan kebangsaan yang menjadi tunjang penyatuan negara.
“Kerisauan ini wajar didengari dan dihormati kerana ia lahir daripada cinta kepada bahasa dan identiti nasional. Tetapi pada masa yang sama, kita harus bersikap adil kepada komuniti bukan Melayu yang melihat UEC sebagai platform akademik untuk masa depan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, apabila dua kelompok berbicara daripada pengalaman dan keresahan masing-masing, rakyat seharusnya tidak menambah api dengan retorik politik yang hanya menyemarakkan sentimen kaum.
“Malangnya, isu UEC sering menjadi alat untuk menyemarakkan sentimen kaum. Ada yang menuduh ia projek politik pihak tertentu, dan ada pula yang menjadikan penolakan UEC sebagai bukti parti lain tidak progresif.
“Di sinilah masalah sebenar bermula. Sebuah isu pendidikan yang sewajarnya dibincang dengan ilmu, tiba-tiba berubah menjadi senjata politik yang memecah-belahkan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, jika sentimen diketepikan dan perbincangan kembali kepada asas, rakyat akan sedar bahawa UEC bukan ancaman kepada negara dan tidak juga penyelamat mutlak.
“Ia hanyalah sebuah sistem yang perlu difahami dengan objektif. Kita boleh berbincang tentang pengiktirafan bersyarat yang menjaga kepentingan semua pihak. Kita boleh tetapkan keperluan Bahasa Melayu setaraf SPM, mewajibkan modul kenegaraan, dan memastikan standard UEC berada dalam kawalan kualiti negara,” katanya.
Jelas beliau, langkah-langkah seperti itu tidak merendahkan sesiapa, sebaliknya memberi peluang kepada semua anak Malaysia untuk bergerak ke hadapan tanpa meninggalkan identiti nasional yang telah dibina bersama.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu belajar melihat isu ini bukan melalui ketakutan atau prejudis, tetapi melalui keyakinan bahawa sebuah negara yang matang tidak akan runtuh hanya kerana membuka ruang dialog.
“Kita mampu mempertahankan dasar kebangsaan sambil mengiktiraf kepelbagaian. Kita mampu menjaga Bahasa Melayu sambil meraikan bahasa-bahasa lain. Kita mampu mengangkat martabat pendidikan tanpa mengorbankan masa depan mana-mana pelajar,” katanya.
Nurulhidayah menegaskan, UEC bukanlah tentang Melayu atau Cina, bukan tentang siapa menang atau siapa kalah, tetapi tentang bagaimana rakyat memilih untuk membina Malaysia.
BACA LAGI“Adakah kita mahu membina tembok yang menjarakkan, atau jambatan yang menghubungkan? Pendidikan ialah masa depan negara. Dan untuk masa depan itu, kita memerlukan keberanian untuk berbincang secara waras, kesediaan untuk memahami, serta kejujuran untuk menerima bahawa kepelbagaian bukan musuh, tetapi ia adalah kekuatan kita.
Jika kita benar-benar mahu Malaysia melangkah lebih jauh, maka kita harus mulakan dengan mengubah cara kita melihat satu sama lain. UEC hanyalah satu perbincangan. Tetapi cara kita mengurus perbincangan inilah yang menentukan sejauh mana dewasa dan matang kita sebagai sebuah bangsa.
Bincang elok-elok. Insya-Allah,” katanya.

0 Ulasan