Bersatu kesal difitnah khianat persefahaman PN - Azmin

 

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kesal kerana ada pihak yang melempar fitnah bahawa parti itu mengkhianati persefahaman dalam Perikatan Nasional (PN). 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Azmin Ali berkata, MPT Bersatu telah mendengar penjelasan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam mesyuarat semalam.

Menurut beliau, MPT Bersatu berpuas hati dengan penjelasan itu.

"Bersatu menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam krisis kepimpinan di Perlis," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Krisis politik yang berlaku di Perlis baru-baru ini telah mengakibatkan pertukaran Menteri Besar dan menyebabkan ketegangan antara Bersatu dan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin berkata, MPT Bersatu menghormati keputusan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan akan mempertahankan keputusan itu atas dasar prinsip dan tanggungjawab.  

Walau bagaimanapun, menurut beliau, MPT Bersatu juga membincangkan secara mendalam tentang hala tuju PN dalam persiapan PRU16 untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.  

"MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.  

"MPT menyambut nasihat YB Presiden supaya ahli-ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti," katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan