Lelaki tua bunuh anjing ditahan

 

Seorang lelaki warga emas ditahan malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kematian seekor anjing liar yang dipercayai akibat perbuatan khianat di Pusing, dekat Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Ae-hawan Mohammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun pada pukul 9.30 pagi semalam berhubung kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 28 Januari lalu kira-kira pukul 7.30 petang apabila penduduk setempat mendengar bunyi letupan yang kuat dan mendapati seekor anjing liar telah mati terbaring di atas jalan raya dalam keadaan mulut berlumuran darah di kawasan berhampiran sebuah restoran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Susulan maklumat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 64 tahun di sebuah kedai di Pusing pada pukul 11 malam tadi yang disyaki sebagai suspek dalam kes berkenaan.

Menurut beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat sehingga menyebabkan kematian haiwan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah,” katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan