2 kapal tangki pindah minyak secara haram ditahan

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal di kedudukan 24 batu nautika barat Muka Head, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata,, kira-kira pukul 1.00 pagi itu, bot peronda Maritim Negeri Pulau Pinang telah menerima aduan berhubung kapal tangki itu dalam keadaan bersauh dan disyaki mereka melakukan aktiviti pemindahan minyak yang melibatkan dua buah kapal tangki di perairan itu.

Beliau memaklumkan, pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu dalam keadaan bergandingan dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal.

“Kedua-dua kapal terbabit dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah yang melibatkan 53 kru, di mana kesemua kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India.

“Nilai rampasan minyak mentah adalah berjumlah lebih RM512 juta, manakala nilai rampasan bagi kedua-dua kapal tangki tersebut adalah  RM718 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Muhammad Suffi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia yang membawa hukuman sebanyak RM100 ribu dan Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang membawa hukuman sebanyak RM 200,000 ke atas kedua- dua kapal.

“Dua kapten kapal dan vesel terlibat telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan rondaan di perairan negeri ini untuk memastikan semua aktiviti di laut mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan