Najmi tiada mandat bincang dengan pemimpin Bersatu - DAP

 

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tidak pernah memberikan sebarang mandat atau kuasa kepada mana-mana individu untuk mewakili parti bagi mengadakan sebarang bentuk perbincangan politik, rundingan kerjasama, atau hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau mana-mana pemimpinnya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, sebarang tindakan oleh mana-mana pihak yang mendakwa mewakili DAP untuk berhubung dengan Bersatu adalah bersifat peribadi dan sama sekali tidak mencerminkan pendirian, keputusan atau dasar rasmi parti.

Menurut beliau, DAP sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang berlandaskan nilai integriti dan maruah dalam usaha mendapatkan sokongan masyarakat Melayu.

“Usaha kami untuk memenangi sokongan masyarakat Melayu tidak pernah, dan tidak akan, bergantung kepada strategi memancing atau memujuk ahli parti lain untuk melompat parti.

“Sebaliknya, DAP komited untuk meraih kepercayaan dan pengiktirafan rakyat daripada semua kaum, termasuk masyarakat Melayu, melalui prestasi kerja yang terbukti, perkhidmatan kepada rakyat yang berkesan, serta prinsip perjuangan politik yang konsisten dan berintegriti," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin yang mendakwa beberapa pemimpin Bersatu d Selangor telah bertemu dengannya dan menyatakan hasrat menyertai DAP.

Poay Tiong berkata, DAP akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pentadbiran Kerajaan Perpaduan

"Parti akan membuktikan keupayaannya melalui usaha memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, serta memperkukuh keharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini," jelasnya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan