Empat ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa Kerajaan Madani menggantung serta-merta proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Mereka ialah Wong Chen (Subang), Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Penegasan mereka itu adalah berkaitan dengan keputusan Mahkamah Agung AS pada 20 Februari lalu bahawa tarif yang dikenakan oleh Presiden Trump adalah, pada hakikatnya, tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.
Sehubungan itu, dalam kenyataan bersama pada 23 Februari 2026, mereka menggesa Kerajaan Madani untuk:
1. Mendedahkan secara terbuka dan sepenuhnya apakah langkah-langkah dan proses ratifikasi yang Kerajaan bercadang untuk laksanakan berhubung ART antara Malaysia dan AS;
2. Menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi ART, memandangkan keputusan Mahkamah Agung AS bahawa semua tarif tersebut adalah, pada hakikatnya, tidak sah; justeru, ART juga seharusnya dianggap tidak sah secara ab initio;
3. Mengarahkan serta-merta Pejabat Peguam Negara untuk mengeluarkan suatu pendapat undang-undang mengenai kesahihan ART susulan keputusan Mahkamah Agung AS dan membentangkan pendapat undang-undang tersebut kepada Ahli-Ahli Parlimen;
4. Memaklumkan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai implikasi kos-manfaat berhubung tarif global Trump sebanyak 15% yang baru diumumkan, dengan mengambil maklum bahawa tarif tersebut hanya terpakai selama 150 hari dan berkemungkinan akan tertakluk kepada satu lagi perbicaraan di Mahkamah Agung AS;
5. Memaklumkan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai semua perkembangan berkaitan potensi pemulangan semula tarif berjumlah berbilion dolar, dan memastikan bahawa mana-mana pengeksport Malaysia yang telah diminta untuk menanggung dan membayar sebahagian daripada tarif tersebut turut menerima pemulangan; dan
6. Mengambil maklum bahawa Perdana Menteri berhasrat untuk melawat Presiden Trump di Washington pada bulan-bulan yang akan datang, kami ingin menasihati Perdana Menteri agar lebih berhati-hati dan tidak membuat komitmen atau menandatangani sebarang perjanjian perdagangan atau terma lanjut yang boleh terus menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara kita.
Kami juga mengulangi pendirian bahawa suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas mengenai ART perlu ditubuhkan secepat mungkin untuk menyiasat bagaimana ART tersebut telah dirunding dan ditandatangani.

0 Ulasan