r
Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan setinggi–tinggi ucapan terima kasih atas kepercayaan dan amanah sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu, yang diputuskan oleh semua Presiden parti anggota PN dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (MPT PN) yang bermesyuarat khas pada 22 Februari 2026.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sebagai Pengerusi PN dari mula penubuhannya, bersama seluruh kepimpinan MPT PN yang membina PN sebagai asas muafakat politik yang dapat bergerak cemerlang sehingga mampu memenangi kerusi yang besar dalam Piihan Raya Umum Ke-15.
"Tanggungjawab baharu kepada saya ini amatlah besar, berat dan mencabar, terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN, untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosio ekonomi.
"Saya akan berbincang dengan kepimpinan MPT PN untuk mengadakan mesyuarat MPT PN bagi menentukan pelantikan jawatan sebagaimana keperluannya dalam Perlembagaan PN.
"Apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat," katanya dalam kenyataan media pada 22 Februari 2026.

0 Ulasan