Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, menegaskan tindakan menggantung tiga lagi kakitangan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) berhubung dakwaan kartel dan salah guna geran adalah bukti jelas berlakunya “institutional capture” dalam agensi tersebut.
“Perkembangan ini bukan lagi isu pentadbiran biasa, tetapi petunjuk jelas sistem dan struktur dalaman HRD Corp telah dipengaruhi, dimanipulasi atau dikuasai oleh kumpulan berkepentingan sehingga mekanisme semak dan imbang gagal berfungsi secara bebas,” katanya dalam kenyataan media pada 23 Februari 2026.
Beliau berkata dakwaan mengenai salah guna dana levi dan potensi kewujudan kartel bukan perkara baharu kerana ia telah dibangkitkan sejak tiga atau empat tahun lalu.
“Ketika itu siasatan dalaman dilaporkan telah ‘membersihkan’ pihak tertentu. Namun pada masa sama, SPRM menyatakan bahawa fail siasatan belum ditutup. Maka timbul persoalan besar – jika siasatan luar belum dimuktamadkan, mengapa tindakan pencegahan seperti penggantungan tidak dilaksanakan lebih awal?” ujarnya.
Menurut Jais, kelewatan bertindak selama dua atau tiga tahun hanya menguatkan persepsi wujud budaya perlindungan dalaman, toleransi terhadap risiko atau lebih serius menggambarkan penguasaan kartel ke atas struktur kelulusan geran.
“Dana HRD Corp adalah dana levi mandatori yang mencecah berbilion ringgit setahun. Ia bukan dana pelaburan spekulatif, tetapi wang amanah untuk pembangunan latihan dan kemahiran pekerja negara. Jika benar wujud manipulasi atau kartel dalam kelulusan geran, maka ini bukan sekadar salah laku pentadbiran, ia adalah pengkhianatan terhadap amanah awam,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap kepimpinan baharu HRD Corp atas keberanian memulakan tindakan penggantungan selepas pelantikan Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu.
“Tindakan tegas ini menunjukkan kesediaan untuk memecahkan pola lama yang terlalu defensif dan lambat bertindak,” katanya.
Jais turut menggesa pengurusan baharu HRD Corp melaksanakan audit forensik bebas, menilai semula struktur kelulusan, menyaring pegawai serta vendor berisiko dan mendedahkan hasil siasatan secara telus kepada umum.
“Pembersihan separuh jalan hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa sistem masih dikuasai kepentingan tertentu. Pembersihan menyeluruh pula akan menghantar mesej bahawa HRD Corp memilih integriti berbanding perlindungan dalaman,” katanya lagi.
Beliau menegaskan MCW akan terus memantau perkembangan ini dan mendesak akauntabiliti penuh.
“Apabila institusi ditawan oleh kepentingan sempit, integriti menjadi mangsa. Apabila kepimpinan berani memecah dominasi tersebut, reformasi sebenar bermula,” ujar Jais.

0 Ulasan