Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil maklum isu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Terengganu komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
"Seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.
"Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan," katanya dalam kenyataan media pada 24 Februari 2026.
Ahmad Samsuri berkata, Ahli MMKN berkenaan tidak diwajibkan meletak jawatan, kerana kapasiti beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.
Beliau menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.
"Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini," katanya.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 24 Februari 2026 atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Bagi pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd. Najmi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 15 Ogos 2018 di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexxe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

0 Ulasan