Dewan Ulama PAS Pusat mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agar tidak sekadar berpeluk tubuh atau mengeluarkan kenyataan retorik berikutan insiden kemalangan maut yang disebabkan oleh keganasan pemandu mabuk di Klang semalam.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Noor Hamzah berkata, pihaknya menuntut pelan tindakan drastik dan penguatkuasaan yang lebih agresif.
"Persoalan besar kami kepada kerajaan hari ini, sampai bilakah lagi rakyat perlu menjadi korban akibat kegilaan pemandu mabuk?
"Adakah nyawa rakyat Malaysia semurah itu sehingga kita terpaksa membaca berita ngeri sebegini saban waktu?
"Kes Allahyarham Amirul Hafiz ini bukan sekadar statistik, ia adalah kegagalan sistem penguatkuasaan yang tegas untuk mengekang 'pembunuh di jalan raya' ini," katanya dalam kenyataan media pada 30 Mac 2026.
Menurut beliau, merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysian Institute Of Road Safety Research (MIROS), trend kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol tetap berada pada tahap yang membimbangkan.
Mohd. Noor berkata, walaupun pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan telah dibuat, kekerapan kes yang berlaku menunjukkan seolah-olah tiada rasa gerun dalam kalangan pemandu terbabit terhadap undang-undang sedia ada.
"Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa melayang baru mahu bertindak. Siapa yang akan membela nasib balu dan anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz yang kini telah kehilangan nakhoda?
"Adakah kerajaan mahu membiarkan mereka terus merana tanpa pembelaan yang sewajarnya?" soalnya.

0 Ulasan