UMNO membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali atau mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan untuk menyertai UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.
"Sehubungan itu, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses ini dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.
"Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan media pada 6 Mac 2026.
Beliau menambah, sempena keberkatan Ramadan al-Mubarak, bulan yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan dan memperkukuh ukhuwah, UMNO melihat kesempatan ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti.
"Hakikatnya, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi, tetapi terbina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat," katanya.

0 Ulasan