BERSIH desak Azam Baki letak jawatan segera

 


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam hala tuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dilihat semakin menyimpang daripada mandat asalnya untuk penguatkuasaan mencegah serta melawan rasuah, namun sebaliknya menjadi alat intimidasi politik melalui institusi ini.

Menurut BERSIH, 'pemburuan' awam terbaharu terhadap James Chai, seorang warganegara biasa dan bekas pegawai kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menandakan satu tahap baharu yang membimbangkan. 

Katanya, dengan menyiarkan 'notis mengesan' yang turut memaparkan alamat rumah keluarganya - di mana ibu bapanya yang sudah lanjut usia menetap - walaupun James Chai menegaskan beliau tidak pernah dihubungi secara langsung untuk sebarang siasatan, SPRM telah terlibat dalam tindakan memalukan secara sengaja serta membina persepsi telah bersalah. 

"Ini bukanlah prosedur siasatan yang lazim dan wajar, dan hanya boleh disifatkan sebagai pendedahan (doxxing) institusi yang bertujuan mencemarkan reputasi," katanya dalam kenyataan media pada 5 Mac 2026.

BERSIH juga mengambil maklum dengan kebimbangan bahawa peningkatan tindak balas itu berlaku ketika ramai pihak termasuk Rafizi terus lantang memperjuangkan reformasi institusi dan baru-baru ini berucap di perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dianjurkan oleh masyarakat sivil dan aktivis mahasiswa. 

Katanya, masa tindakan ini diambil menimbulkan persepsi wujudnya pola tindakan balas, di mana SPRM dipersenjatakan terhadap mereka yang menuntut kebertanggungjawaban institusi penguatkuasaan antikorupsi ini.

Menurut BERSIH. mempergunakan SPRM untuk menyasarkan pegawai politik atas alasan 'kepentingan negara' sambil mengabaikan kerosakan di peringkat tertinggi suruhanjaya itu sendiri adalah  pengkhianatan terhadap semangat reformasi.

"Keyakinan awam terhadap SPRM telah merosot ke tahap rendah susulan pendedahan terkini oleh Bloomberg mengenai dakwaan kaitan 'mafia korporat' dalam agensi tersebut serta bayangan berpanjangan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki," katanya.

BERSIH menambah, berbanding menangani dakwaan serius itu secara telus, pihak berkuasa memilih untuk:

1. Mengganggu wartawan dengan menghantar polis ke pejabat tempatan Bloomberg untuk menjejaki wartawan penyiasat;

2. Membingkaikan kewartawanan penyiasatan yang sah sebagai satu konspirasi asing, iaitu taktik yang mengingatkan kepada pendekatan era Najib Razak semasa skandal 1MDB, apabila tindakan keras diambil terhadap media dan aktivis dengan alasan “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen” demi kelangsungan politik susulan laporan The Wall Street Journal mengenai 1MDB.

BERSIH melihat ironi besar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang satu ketika dahulu mendapat sokongan teguh media antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia ketika berdepan penganiayaan politik, kini mengetuai pentadbiran yang melabel kewartawanan penyiasatan sah oleh media antarabangsa sebagai 'campur tangan'.

"Menolak laporan rasuah sebagai konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu kaedah memperdaya rakyat Malaysia daripada melihat isu sebenar. 

"Perdana Menteri perlu beringat bahawa beliau sendiri pada satu masa pernah menjadi mangsa undang-undang dan institusi berat sebelah yang kini dibiarkan berterusan," katanya.

Sehubungan kegagalan sistemik itu, BERSIH sekali lagi mengulangi tuntutan berikut:

1. Peletakan Jawatan Segera Azam Baki: Kehadiran beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya tidak lagi boleh dipertahankan dan terus menjejaskan reputasi SPRM. 

2. Reformasi segera SPRM: Reformasi Proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP) bagi memastikan pengawasan dwi-partisan dan berintegriti.

3. Hentikan gangguan terhadap James Chai dan wartawan: Hentikan penggunaan 'Notis Mengesan' sebagai alat memalukan secara terbuka dan hentikan intimidasi terhadap media. Modus operandi SPRM seolah-olah sesuatu pihak itu telah bersalah sebelum ada siasatan yang telus.

4. Tubuhkan segera satu panel yang bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua tuduhan yang tertunggak termasuk tuduhan 'mafia korporat' dalam SPRM. 

BERSIH menegaskan, Anwar dan Kerajaan Madani tidak boleh mendakwa memerangi rasuah sambil melindungi ketua penguatkuasanya daripada penelitian yang sama yang dikenakan secara terpilih terhadap pihak lain. 

"Sehingga kini Kerajaan Madani tidak menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk menyiasat Azam Baki melalui satu badan yang bebas daripada campur tangan eksekutif," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan