DAP mengambil perhatian serius terhadap dakwaan media asing berkenaan kewujudan gejala 'mafia korporat' dan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan oleh syarikat tertentu sebagai alat untuk mencapai matlamat kepentingan peribadi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 4 Mac 2026.
"Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat secara meyeluruh dakwaan tersebut dan mencadangkan langkah-langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi tersebut," katanya dalam kenyataan media pada 5 Mac 2026.
Sementara itu, beliau berkata, DAP turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Sehubungan itu, Anthony berkata, DAP menyeru kerajaan untuk membentangkan semula RUU tersebut dalam sidang Parlimen yang akan datang untuk merealiisasikan agenda reformasi yang penting itu.
Beliau menambah, DAP juga menyokong keputusan kerajaan untuk merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas.
Katanya, DAP menyatakan komitmen untuk menambah baik aspek akauntabiliti dan ketelusan proses pelantikan jawatan tersebut melalui wakil-wakilnya dalam jawatankuasa tersebut iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
"DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak berkompromi dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa serta menyokong penuh agenda memerangi rasuah," jelasnya.

0 Ulasan