Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan cadangan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong supaya kerajaan mengisytiharkan darurat supaya PRN Melaka boleh ditangguhkan sebagai amat mengarut.
Beliau berkata, tiada keperluan bagi kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.
"Perlukah pengisytiharan darurat untuk menangguh pilihan raya? Kalau tidak mahu buat PRU tangguh sahajalah.
"Kenapa perlu isytihar darurat? Tarikh PRU adalah prerogatif PMX. Suka hati PMX bila mahu bubar Parlimen," katanya dalam hantaran Facebook pada 22 April 2026.
Mohd. Puad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu meniru cara pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen.
"Satu takut pilihan raya dan satu lagi takut kena hentam di Parlimen pasal cara atasi COVID yang gagal. Kilang boleh dibuka tapi Parlimen ditutup.
"Jangan jadikan darurat alat untuk melindungi kelemahan kerajaan dalam mengatasi beban rakyat akibat perang Amerika-Iran.
Menurut beliau, media akan dikawal dan pengkritik boleh ditahan atas alasan fitnah, batu api dan penghasut.
"Lebih bahaya jika darurat dijadikan kesempatan tender dilulus, dibatal dan dilantik kontraktor baharu tanpa ketelusan," jelasnya.

0 Ulasan