Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita berikutan sikap segelintir pihak yang seolah-olah masih tidak berpuas hati dan enggan mematuhi titah baginda berhubung larangan penternakan babi di negeri tersebut.
Titah baginda, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan tanah tidak mencukupi, pencemaran alam serta kedudukan ladang ternakan yang berada di kawasan penempatan penduduk padat dengan umat Islam.
“Baru-baru ini, beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor.
"Namun demikian masih terdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah beta,” titah baginda pada Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 April 2026.
Sultan Sharafuddin bertitah, isu pencemaran sungai dan udara turut menjadi faktor penternakan babi tidak sesuai diteruskan di Selangor.
Baginda menitahkan agar isu tersebut diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar Selangor terutamanya dari Sarawak untuk bekalan kaum bukan Islam yang memerlukannya.

0 Ulasan