"Hutang budi dibawa mati" - titah Tengku Mahkota Pahang kepada PMX

 

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang.

"Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama," titah baginda dalam kenyataan media pada 8 Mei 2026.

Baginda turut berkongsi serangkap pantun:

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Terdahulu, memetik laporan Astro Awani, Anwar berkata, beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Pusat kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal.

Menurut beliau, penjelasan berkenaan turut merangkumi kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa serta isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

“Saya hormat Tengku Mahkota… tetapi peruntukan kepada negeri Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk negeri Pahang serta keadaan ekonomi semasa.

“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya ketika mengulas teguran Tengku Hassanal.

Baginda sebelum itu bertitah mempersoalkan peruntukan pusat ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15.

Menurut baginda, Pahang menerima kelulusan 133 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.386 bilion.

“Saya tidak mahu melihat berlakunya ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran. Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Tengku Mahkota Pahang turut menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan usaha kerajaan Pahang untuk menambah hasil negeri, termasuk melalui eksport pasir sungai.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan