Adakah PMX merestui kenyataan Shamsul Iskandar? - Puad

 


Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui kenyataan Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, baru-baru ini.

Menurut beliau, Shamsul Iskandar menyatakan menerima panggilan daripada Anwar agar jangan membuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kiraan semula undi di kerusi Parlimen Bagan Datuk walaupun kalah tipis kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Puad berkata, Anwar masih membisu terhadap dakwaan Shamsul Iskandar itu, seolah-olah merestui parti-parti dalam Kerajaan Madani mengkritik sesama sendiri. 

"Persoalannya, kalau pun dibuat kiraan semula apa jaminan Shamsul Iskandar akan menang? 

"Ada tempat, majoriti lebih kecil dari itu. Tetapi ia tidak mengubah keputusan walaupun kiraan semula dibuat," katanya.

Beliau juga menyalahkan Shamsul Iskandar yang sepatutnya mengutamakan moraliti dan bukannya jawatan Perdana Menteri.

Mohd Puad turut bertanya apakah motif Shamsul Iskandar membawa cerita karut itu sekarang.

"Lebih baik dia buat laporan polis. UMNO tidak rugi apa apa. Bagan Datuk tetap milik UMNO. Imej PMX yang calar," katanya.

Dalam video sedutan rancangan podsiar Apa Cerita yang tular itu, Shamsul Iskandar mendakwa, beliau diminta oleh Anwar untuk tidak mencabar kemenangan tipis Ahmad Zahid.

Menurut Shamsul Iskandar, beliau mahu pengiraan semula kertas undi berikutan perbezaan undi tipis sebanyak 348 dan ketika itu beliau bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tanda tangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Shamsul dalam podcast “Apa Cerita”.

Shamsul Iskandar memberitahu, dengan 82 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), gandingan dengan BN boleh memberikannya majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.


JIWA MERDEKA 


Catat Ulasan

0 Ulasan