Azalina beri peringatan kepada Shamsul Iskandar

 

Gambar: FB



Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin diingatkan agar dapat memberikan tumpuan kepada kestabilan politik negara dan mengelakkan dari sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said memberi peringatan itu ekoran kenyataan Shamsul Iskandar dalam klip podsiar  berhubung keputusan PRU15 melibatkan kerusi ditandingi beliau di Parlimen Bagan Datuk yang melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

"Ia hanya akan mencetuskan spekulasi yang tidak wajar dan ini tentunya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia.

"Akhirnya, kita semua perlu ingat bahawa manusia hanya boleh merancang, namun Allah SWT jualah yang menentukan segala sesuatu," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Dalam video yang tular itu, Shamsul Iskandar mendakwa, beliau diminta oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mencabar kemenangan tipis lawannya, Ahmad Zahid.

Menurut Shamsul Iskandar, beliau mahu pengiraan semula kertas undi berikutan perbezaan undi tipis sebanyak 348 dan ketika itu beliau bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tanda tangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Shamsul dalam podcast “Apa Cerita”.

Shamsul Iskandar memberitahu, dengan 82 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), gandingan dengan BN boleh memberikannya majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.

Azalina yang juga Ahli Parlimen  Pengerang menekankan tentang pentingnya ketelusan dan menghormati proses demokrasi dalam arena politik, khususnya yang berkaitan dengan pilihan raya. 

"Sebagai ahli politik yang berpengalaman, kita sewajarnya bertindak dengan penuh tanggungjawab, terutama ketika berbicara soal keputusan pilihan raya bagi memelihara integriti politik.

"Datuk Seri Shamsul seharusnya berjiwa besar dengan menerima keputusan tersebut dan menggunakan saluran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengemukakan bantahan sebagai gambaran komitmen terhadap integriti dan profesionalisme politik. 

"Dalam hal ini, saya berpendapat Ahmad Zahid serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional mempunyai keyakinan penuh terhadap proses demokrasi dan bersedia menerima apa-apa jua keputusan yang dibuat oleh pengundi," katanya.


JIWA MERDEKA 




Catat Ulasan

0 Ulasan