RUU Mufti: Berhati-hati kenyataan tidak bersandarkan fakta - Menteri Agama

 


Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Rang Undang-undang Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 (RUU Mufti) digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, penggubalan RUU Mufti adalah usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-wilayah Persekutuan. 

Menurut beliau, menerusi pemerkasaan itu, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.

"Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan pada tahun 2021. Penubuhannya bertujuan untuk mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk mufti. 

"Jawatankuasa Penggubalan ini dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

"RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan satu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


JIWA MERDEKA 


Catat Ulasan

0 Ulasan