Adalah tidak wajar mana-mana menteri memberi mesej mempertahankan kesalahan kedai yang menjual sandwich ham di Universiti Malaya (UM).
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan dalam kalangan orang Islam.
"Pihak berkuasa perlu bertindak segera agar insiden stokin dengan kalimah Allah dulu tidak kembali berdarah lukanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming cuba menegakkan benang basah dengan menyatakan bahawa ham yang terdapat pada sandwich tersebut tidak semestinya berasal dari daging babi.
Malah, beliau melabelkan pihak yang bersuara tentang isu itu sebagai 'bodoh'.
JAKIM telah mengesahkan bahawa sandwich itu dan syarikat yang membuatnya tiada sijil halal.
Mohd Khairuddin menambah, isu itu sudah masuk kategori penipuan perniagaan melibatkan pelanggan dalam kalangan umat Islam khususnya di UM.
"Dan ia menimbulkan kesangsian terhadap status produk-produk makanan lain kerana ia melibatkan makan minum ribuan orang-orang Islam yang terpedaya dengan tanda halal palsu.
"Saya difahamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut terhadap kesalahan besar ini," katanya.
0 Ulasan